SEJARAH SEKOLAH

Pada tahun 1950 atas daya usaha dan kegigihan Encik Che Nan Bin Hasan seorang pekerja ladang K.M.S Sungai Petani yang juga bertindak sebagai Setiausaha Jawatankuasa Penaja bersama beberapa orang rakannya iaitu Encik Mahmud Bin Puteh, Encik Shaari Bin Hasan dan Penghulu Mukim Sungai Pasir ketika itu merancang untuk mewujudkan sebuah sekolah Melayu di Ladang K.M.S untuk faedah kanak-kanak Kampung Matang Gedong dan kawasan sekitarnya.
            Atas usaha yang tidak pernah kenal apa itu kegagalan, hasrat dan cita-cita murni mereka untuk mendirikan sebuah sekolah akhirnya terlaksana pada tahun 1951.Pihak Pengurusan Ladang K.M.S bersetuju membangunkan sebuah sekolah yang dinamakan " Sekolah Melayu K.M.S Estate " dengan jumlah murid-murid seramai hampir 100 orang dan seorang guru iaitu Tuan Haji Jusuh Bin Ahmad.
Bangunan sekolah tersebut berdindingkan papan dan beratap nipah. Tapak asal sekolah tersebut terletak di atas Lebuhraya betul-betul berhadapan dengan Klinik Alaf Baru, Taman Bakar Arang sekarang ini.
Pada tahun 1952 dengan daya usaha Che nan Bin Hasan kelas pelajaran agama, Quran Tajwid dan Fardu 'Ain dapat diadakan di sekolah yang sama diwaktu petang.Guru pertama kelas agama, Quran Tajwid dan Fardu 'Ain ialah Ustaz Shuib Bin Mat Darus.
Pengajaran Agama di sekolah ini dapat berjalan dengan baik sehingga tahun 1960 disebabkan pelajaran agama dan guru-guru Agama di sekolah negeri diambil alih oleh Kementerian Pelajaran pada tahun 1961.
Setelah sekolah ini diambil alih oleh Kementerian Pelajaran dari masa kesemasa bilangan murid dan bilangan guru bertambah ramai.Bangunan sekolah dan tapak asal sekolah tidak lagi dapat menampung keperluan yang bertambah.
Pihak Kementerian Pelajaran bertindak mencari satu tempat yang lebih sesuai.Akhirnya terbangunlah sebuah sekolah di Taman Sejati yang dinamakan Sekolah Kebangsaan Sri Gedong seperti yang ada sekarang ini.